PENYAKIT-PENYAKIT JANTUNG

PENYAKIT-PENYAKIT JANTUNG



Kegagalan jantung (heart failure) ataupun Lemah Jantung (congestive heart failure) ialah penyakit di mana jantung tidak mampu untuk mengepam darah secara normal. Walaupun jantung berfungsi, namun badan tidak mendapat keperluan oksigen yang mencukupi. 


Video Heart Disease:


Antara punca Lemah Jantung ialah penyakit arteri koronari (Coronary Artery Disease). Penyakit arteri koronari berlaku apabila salur darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh pengumpulan plak lemak pada dinding arteri yang menyalurkan darah ke otot jantung. Apabila ini berlaku, pengaliran darah ke otot jantung semakin berkurangan dan jika aliran darah menjadi sangat sedikit, ke tahap yang kritikal, ini akan menyebabkan kegagalan jantung.


Selain itu, kardiomiopati (cardiomyopathy) juga menyebabkan Lemah Jantung. Kardiomiopati ialah jantung yang menjadi besar dan tebal. Ini akan membuatkan jantung sukar untuk mengembang dan mengecut untuk mengepam darah dengan normal. Lama-kelamaan akan menyebabkan Lemah Jantung.

Pembentukan plak pada dinding arteri
Penyempitan salur darah oleh plak lemak

Penyakit-penyakit yang menyebabkan jantung bekerja dengan kuat dalam jangka masa yang panjang juga boleh menyebabkan lemah jantung. Penyakit-penyakit tersebut ialah  tekanan darah tinggi, masalah injap jantung, penyakit tiroid (thyroid), sakit buah pinggang, diabetes dan kecacatan jantung sejak lahir (congenital heart disease).


Aritmia (Arrhythmia) ialah masalah pada ritma jantung yang berdegup tidak tentu. Sama ada berdegup terlalu laju ataupun terlalu perlahan. Degupan jantung yang terlalu lambat dan tidak teratur dikenali sebagai bradikardia (bradycardia). Manakala, degupan jantung yang terlalu laju dan tidak teratur dikenali sebagai takikardia (tachycardia).

Elektrokardiogram untuk ritma jantung yang normal (atas), bradikardia (tengah) dan takikardia (bawah)


Aritmia berlaku apabila pengaliran elektrik dalam otot jantung menjadi tidak menentu sehingga menyebabkan jantung berdegup pantas (takikardia) atau perlahan (bradikardia). Tanda-tanda aritmia ialah terasa berdebar-debar atau terasa jantung berdegup laju dan sesungguhnya ia tidak berbahaya. Namun begitu, aritmia boleh menyusahkan seseorang apabila ia menyebabkan seseorang itu menjadi tidak selesa. Adakalanya aritmia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda lain aritmia ialah sakit dada, sesak nafas, pening, berpeluh dan pitam.

Pergerakan / degupan jantung yang normal dan degupan jantung yang tidak normal

Video Arrythmia:

Selain itu, injap jantung juga perlu berfungsi dengan baik untuk memastikan darah mengalir dengan normal. Ini kerana jantung kita mempunyai empat ruang dan dihubungkan dengan anggota badan yang lain melalui saluran darah.

Rajah mudah jantung


Pengaliran darah daripada satu ruang ke ruang yang lain atau ke salur darah dikawal oleh injap jantung. Injap jantung bermasalah (Heart Valve problem) merupakan situasi di mana injap jantung rosak. Injap yang rosak akan menyebabkan aliran darah menjadi tersumbat (injap tidak terbuka) atau bocor (injap tidak tertutup). Antara penyakit yang disebabkan oleh kerosakan injap jantung ialah penyempitan injap (stenosis) dan kebocoran injap (regurgitation). Injap jantung bermasalah berpunca daripada endokarditis (endocarditis), iaitu penyakit jangkitan kuman pada jantung, dan penyakit reumatic (rheumatic heart disease).

Injap jantung yang normal (kanan atas) dan injap jantug dijangkiti kuman (kanan bawah)

Kecacatan jantung sejak lahir (congenital heart disease) merupakan kecacatan yang berlaku kepada bayi semasa di dalam kandungan lagi kerana jantung bayi tersebut tidak terbentuk dengan sempurna. Kecacatan jantung ini boleh menyebabkan komplikasi sejurus bayi dilahirkan atau ia tidak memberikan sebarang komplikasi sehingga bayi tersebut meningkat dewasa.

Kecacatan jantung sejak lahir sering kali dikaitkan dengan kecacatan pada bahagian septum. Kecacatan ini terdiri daripada kecacatan septum arterium dan kecacatan septum ventrikel. Kecacatan ini akan menyebabkan aliran darah menjadi tidak normal. Tanda-tanda bayi mengalami kecacatan pada septum arterium ialah lesu, cepat lemah, berpeluh, pernafasan yang pantas, sesak nafas dan sering mendapat jangkitan kuman pada paru-paru. Tanda-tanda bayi mengalami kecacatan septum ventrikel ialah lesu, berpeluh, pernafasan yang pantas, nafas yang berat, tidak berselera makan dan sukar meningkatkan berat badan.

Kecacatan septum arterium

Kecacatan Septum Ventrikel


Video Congenital Heart Disease:


Strok. Strok berlaku apabila salur darah yang menyalurkan darah ke otak menjadi tersumbat- sering kali disebabkan oleh pembentukan darah beku di dalam salur darah. Iskemik strok (Ischemic stroke) ialah darah beku yang terbentuk akan menghalang bekalan darah ke otak. Kurangnya bekalan darah ke otak akan menyebabkan sel otak mati. Hemoragik strok (haemorrhagic stroke) pula bermaksud strok yang berlaku disebabkan oleh salur darah yang membekalkan darah ke otak pecah. Ini menyebabkan sel otak yang terlibat menjadi mati. Bahagian sel otak yang mati akan menentukan kesan-kesan strok yang berbeza antara satu individu ke individu yang lain. Sesetengah sel otak boleh kembali sembuh dan ini akan membenarkan pesakit untuk menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Sekiranya sel otak yang mati terlalu banyak, ini akan menyebabkan kerosakan sel otak yang kekal dan pesakit tidak boleh untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Strok iskemik (kanan) dan Strok hemoragik (kiri)

Video Strok:



PERHATIAN!

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom peyakit jantung yang dinyatakan, sila rujuk doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan rawatan segera dan nasihat pakar. Segala informasi yang dinyatakan diatas adalah berdasarkan berbincangan #teamfphp yang disertai oleh Ahli Farmasi, Pembantu Ahli Farmasi dan pelajar degree farmasi. Teruskan bersama kami di laman social #teamfphp di Facebook Instagram dan  FB Page (I Am Healthy) untuk makluman lanjut berkaitan tips kesihatan dan isu semasa.


Prevention Is Better Than Cure
Prepared by : Assistant Pharmacist Farmasi Pantai Hillpark (Nur Hazida) & Trainee Degree Student UITM
Editor : Marketing / Advertising (Shakila) 

Comments

Popular Posts